Saturday, January 21, 2006

Balligh 'Anni v.10.0106

[Kuliah Subuh Kg Ambo]

Hadis pertama yang dibacakan menceritakan mengenai waktu bertugas malaikat, yg mana dinyatakan, ada malaikat shif siang, dan ada malaikat shif malam. Waktu pertukaran malaikat ini adalah diwaktu fajar dan waktu asar. Pada waktu fajar, merupakan waktu tamat bertugas bagi malaikat sesi malam, manakala pada waktu asar pula adalah waktu tamat bertugas bagi malaikat sesi siang.

Apabila malaikat malam naik untuk memberi laporan hasil tugas, maka Allah bertanya kepada malaikat malam ini (padahal Allah itu Maha Mengetahui) :

"Wahai malaikat, apa kah yang telah dilakukan oleh hambaku waktu ini?". Lalu malaikat menjawab "Hamba-Mu tadi sedang melakukan solat". (ingat-ingat lupa dialog ni..maksud lebih kurang aa..)

Jadi sahabat-sahabiah sekalian, betapa ruginya kita kalau tidak mampu untuk bangun di awal pagi. Amatlah rugi jikalau selimut dan bantal itu lebih kita sayangi berbanding mengejar kasih Ilahi. Bahkan dinyatakan maksud hadis bahawa solat sunat fajar/solat sunat sebelum subuh itu adalah lebih baik daripada segala dunia dan isinya. Begitu pemurahnya Allah memberi tawaran. Namun tak ramai yang nak mengejarnya.

Sesungguhnya sifat orang mukmin itu adalah sentiasa berusaha dan bersegera dalam melakukan kebaikan.

"Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya". Al-Mu'minun:61

Kuliah subuh ini juga mengajak pendengarnya agar bermuhasabah diri, dan menilai perbezaan antara insan muslim dan insan mukmin. Insan mukmin sentiasa menyerlahkan kefakirannya kepada Allah. Insan mukmin sentiasa sedar permainan dunia yang sedang dihadapinya. Insan mukmin rela meninggalkan nikmat tidurnya untuk menagih kasih Allah.

"Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (utk solat) di malam hari, kecuali sedikit daripadanya, iaitu seperduanya atau kurang sedikit daripada seperduanya, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan penuh tartil".
Al-Muzzammil : 1-5

Insan mukmin yang percaya kepada rasul, akan menerima ayat ini sebagai suatu yang perlu untuk di amalkan dalam hidup mereka, kerana Rasulullah SAW itu adalah qudwah hasanah mereka sebagaimana orang yg nak pandai, menjadikan orang yg dah sedia pandai sebagai rujukan mereka, dan orang yg nak jadi cantik pula, pastilah akan cuba mencari rahsia kecantikan itu.

Insan yang mukmin tidak hanya akan bergantung kepada perkara yang wajib sahaja, malahan akan sentiasa cuba memperbanyakkan ibadatnya kepada Khaliqnya melalui ibadat-ibadat sunat sebagai cara untuk menambahkan "hasil pendapatan" mereka. Bahkan kalamullah yang suci itu sentiasa dijadikan bukan sahaja bahan bacaan malah sebagai satu teori yang wajib untuk mereka praktikkan kerana mereka yakin bahawa Al-Quran itu sendiri sudah merupakan satu kitab manual kehidupan yang menunjukkan cara hidup yang menjamin kasih sayang daripada Allah SWT.

"Dan sebahagian daripada waktu malam maka bertahajjudlah kamu sebagai ibadat tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu akan mengangkat mu ke tempat yang terpuji." 17:79

Ulasan hadis yang seterusnya oleh pengkuliah adalah menceritakan mengenai sifat kasih dan benci Allah. Apabila Allah kasih akan hambanya, Allah akan memanggil Jibril dan berfirman kepada Jibril, "Wahai Jibril, sesungguhnya aku kasih kepada hambaku (fulan bin fulan) ini, maka hendaklah engkau kasih kepada dia juga". Selepas itu Jibril akan memanggil kesemua malaikat dan berkata, "Wahai Malaikat, sesungguhnya Allah telah kasih kepada hambanya ini (fulan bin fulan), maka hendaklah kamu semua kasih kepadanya."

Begitulah sebaliknya apabila Allah benci akan seseorang hambanya, Dia akan memberitahunya kepada Jibril dan Jibril pula akan memberitahu kepada semua malaikat agar turut sama membenci orang yang dibenci oleh Allah itu.

*dialog ambo ingat-ingat lupo jugok..tapi maksud tok lari aa..huhu

Nah, sanggupkah kita dibenci oleh semua malaikat dilangit? Bahkan dibenci oleh Allah SWT? Maha Suci Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, ampunklah hambaMu yang lemah lagi tak terdaya tanpa pimpinanMu ini.

Kita selaku orang yang menerima Islam selaku Ad-Din, pastilah tidak mahu untuk dibenci sedemikian rupa, tapi sejauhmana pula usaha kita untuk meraih kasihNya? Adakah sama sebagaimana usahanya kita untuk meraih kasih di dunia? Kalau pelajar, berusahanya dia untuk meraih gurunya, agar senang untuk menjamin kejayaan dalam pelajarannya, bahkan rela mengorban separuh masa sehariannya untuk buku-bukunya. Kalau sebagai pekerja, berusahanya dia bekerja siang dan malam, agar mampu menambat hati bossnya dengan komitmen kerjanya, dan seterusnya memudahkan untuk dinaikkan pangkat dan gaji. Mengejar kasih Allah bagaimana? Yakinkah kita bahawa sudah cukup dengan mengerjakan yang wajib sahaja? Bahkan kita ini tidak lebih hanya sekadar debu-debu kuda yang ditunggang oleh tentera Islam dalam membantu agama-Nya. Tetapi kalau dalam membantu Islam pun kita langsung tidak berperanan, mungkin tidak melampau untuk menyatakan, kita ini hanya sama dengan tahi kuda!

Kita insan, kadang-kadang amat menjaga perasaan sahabat-sahabiah kita, bimbang mereka terasa. Terlebih lagi dalam menjaga hati dan perasaan ibu bapa. Pernah kita fikir dalam menjaga hati dan perasaan Allah terhadap kita? Maha Suci Allah daripada segala kekurangan, Dia memiliki segala sifat. Kita kadang-kadang terlalu mengambil mudah dalam hal ehwal kehidupan kita, jarang mengambil berat urusan agama.

Apasalahnya kita luangkan masa hidup yg dikurniakanNya, dengan kuasa tubuh badan yang dikurniakanNya, untuk kita turut membantu menjadi sebahagian daripada orang yang Nabi Muhammad Rasulullah SAW harapkan, yakni membantu dia menyampaikan dakwah Islam tanpa mengira masa, bukan sekadar hidup untuk belajar, bekerja, dan berumah-tangga. Padahal Dia langsung tidak memerlukan pertolongan kita dengan kekuasaan-Nya, tapi inilah TAWARAN HEBAT daripada Dia. BIG SALES!!!

"Wahai org yg beriman, mahukah Aku khabarkan kepada mu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu daripada api neraka, iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, dan berjuang pada jalan Allah dengan hartamu dan diri kamu, itulah yg lebih baik bagimu jika kamu mengetahuiNya."
As-Shoff :10 & 11


Semoga kita mengetahuinya. Tiada hidayah tanpa dakwah, tiada dakwah tanpa pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa keikhlasan.

La ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzholimin.

|