Sunday, January 01, 2006

Balligh 'Anni v.09.1205

[ Kuliah Jumaat 30 Disember 2005]

Pengkuliah mengajak para pendengar agar sentiasa memperbaharui diri dalam memahami ummul quran, yakni surah Al-Fatihah. Walaupun berulangkali kita sebagai orang yang taat dalam menunaikan solat membacanya, kita tetap perlu tajdid dalam pemahaman kita. Al-Fatihah mempunyai rahsia pendidikan yang sangat besar dan mempunyai pengaruh yang kuat jika kita benar-benar memahaminya. Kita solat bukan setakat untuk pahala, tapi merupakan satu bentuk hubungan kita dengan Allah dan merupakan penjana kekuatan rohani kita.

Justeru, amatlah penting untuk kita benar-benar memahami bacaan dalam solat kita.
Perlaksanaan solat yang terbaik adalah dengan solat dalam keadaan mulut membaca, telinga mendengar, akal memahami, hati merasa dan diri pula bersedia melaksanakan apa yang telah kita falam dan perbuat dalam solat.

Bacaan paling banyak dalam solat adalah Allahuakbar. Persoalannya, adakah kita baca dgn faham atau tidak faham. Kalau hanya sekadar lidah sahaja, itu boleh dikatakan sekadar
berkumur dengan Allah. Langsung ianya tidak akan menjana kekuatan di dalam diri. Takbir nak tanam dalam diri kita, bahawa yg besar sekali, yg paling berkuasa, yg no 1 adalah Allah SWT. Nak ajar hati kita jadi mcm tu. Nak seruh sebut, semua orang boleh sebut, tapi susah utk terapkan dalam hati betul betul. Pengkuliah mengkategorikan takbir itu kepada 3.

Pertama adalah mengagungkan Allah dengan mulut. Ini rasanya adalah yang paling biasa untuk kita amalkan.
Kedua, adalah takbir bil qalb, yakni membesarkan Allah dengan hati. Kekuasaan Allah itu hadir dalam hatinya yg menyebabkan rasa takut dia kepada Allah, rasa ta'zim dan sbgnya.

Sebagai renungan, ada kisah daripada Auliyaulillah, yang mana semasa beliau mengambil wudhu' , ada seorang hamba memerhatikannya. Hamba ini kehairanan melihat beliau mengambil wudhu' dalam keadaan terketar-ketar dan wajah pula pucat lesi seolah-olah takutkan sesuatu. Apabila selesai wudhu', hamba ini mendekati beliau dan bertanya kenapa keadaan beliau begitu semasa mengambil wudhu'.
Beliau menjawab, " Mana mungkin aku tidak berperasaan begitu, sedangkan sekejap lagi aku akan mengadap Allah Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya, yang amat keras siksaannya…" Begitu sekali sifat yang kenal dengan Allah.

Maka bandingkanlah diri kita, sejauh mana kita mengenali Allah. Dalam sesuatu keadaan, kita mungkin takut untuk pergi berjumpa polis, kita mungkin takut untuk berjumpa pensyarah; kenapa kita takut? Kerana kita kenal siapa itu polis, kita kenal siapa itu pensyarah. Jadi dalam hal ini, bersamalah kita muhasabah diri, kita yang mengaku bahawa Allah itu mencipta kita tapi langsung tidak cuba untuk mengenalinya. Astaghfirullahal 'azim.


Kategori takbir yang ketiga adalah takbir bil fi'li. Yakni, ianya mengiringi setiap apa jua perbuatan yang kita lakukan. Apabila ini terjadi, sudah pasti kita akan mengutamakan Allah dalam apa jua keadaan yang kita tempuhi. Begitukah kita?
Kita renungi sekejap kisah sirah, yang mana pernah satu kali Rasulullah SAW balik daripada satu medan perang, baginda singgah di satu tempat dan baginda menyangkut pedang baginda pada sepohon kayu. Ditambah dengan keletihan, maka Rasulullah telah tertidur, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain juga ikut tertidur.

Tiba-tiba, ada seorang musuh Islam daripada puak Badwi menceroboh masuk dan mengambil pedang Rasulullah lalu meletakkannya pada kepala Rasulullah SAW.


Orang Badwi itu berkata, " Wahai Muhammad, sekarang pedang mu ini berada pada tanganku, maka siapa lagi yang boleh menyelamatkanmu daripada dibunuh oleh aku?"


Rasulullah yang masih terkejut daripada tidur itu lalu menjawab sepatah kata, "Allah!". Mendengar jawapan Rasulullah itu, lantas orang Badwi itu terketar tangannya dan pedang itu terus terjatuh daripada tangannya.


Rasulullah SAW lalu mengambil pedang itu dan diletakkannya pada kepala orang Badwi itu sambil berkata, "Pedang ini sekarang ditanganku, maka siapakah lagi yang boleh menghalangku daripada membunuhmu pada hari ini?".


Orang Badwi itu menjawab,"Tiada sesiapa lagi yang boleh menghalangmu daripada membunuhku melainkan kebaikanmu sahaja."


Nabi lalu berkata, "Pulanglah kamu ke kampong mu, aku tidak akan membunuhmu hari ini."

Maka pulanglah orang Badwi ke kampungya dan menceritakan tentang peristiwa itu kepada penduduk kampungnya yang menyaksikan seluruh kampong memeluk Islam kesan kebaikan yang ditunjukan oleh Rasulullah SAW.


Jadi, bersamalah kita renungi, betapa hebatnya sebutan takbir yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW.
Allahuakbar!

|