Wednesday, December 06, 2006

Dakwah Dan Duit

{ Penulis menulis ni utk Buletin AMAL (Persatuan Alumni Maahad Muhammadi Negeri Kelantan) , ambik je la yg mana berkait, huhu }

Terima kasih kepada editor kerana memberi peluang kepada saya yang dhaif ini untuk menuturkan kalam saya diruangan ini. Dalam masa yang begitu mengheret saya ke kancah kesibukan berterusan, saya akan cuba untuk sama-sama berkongsi sedikit ilmu yang Allah berikan kepada saya. Alhamdulillah.

Saya ingin mengajak sidang pembaca sekalian untuk sama-sama menghayati satu firman Allah SWT daripada Surah Al-An’am, ayat ke 70 yang bermaksud :


Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri ( di akhirat kelak ) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

Syahdu. Menyentuh jiwa. Membacanya, seolah membaca satu nasihat daripada orang yang begitu kasihkan diri kita (Setuju?). Sememangnya, inilah nasihat daripada Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Pengasih kepada hamba-hambanya yang menagih kasih-Nya.

Nasihat Allah kepada hambanya melalui ayat ini, adalah agar hambanya tidak berkawan dengan orang yang lalai, yang tidak menjadikan agama itu sebagai panduan utama dalam kehidupan, (bahkan memandang enteng pula pada urusan agama), sebaliknya Allah berkehendakkan kita menasihatkan mereka-mereka itu (yang lalai tadi), dengan petunjuk-petunjuk Allah dari Al-Quran, dan sekaligus juga, Allah mendedahkan akibat yang bakal ditanggung oleh orang-orang yang tidak mengambil berat hal ehwal agama, yakni azab yang pedih tanpa kompromi, Na’udzubillah.

Barangkali, ayat inilah yang menjadi inspirasi kepada Kerajaan Negeri Kelantan, maka diwujudkan YIK, lantas kita menyaksikan wujudnya MML, MMP, dan MMPPP. 3 buah sekolah ini bolehlah dikatakan sebagai sebuah sekolah yang agak tersohor, dan 3 buah sekolah ini merupakan sekolah yang juga dinaungi oleh AMAL.

AMAL tidak ingin ketinggalan dalam mengaplikasikan nasihat Allah ini. AMAL ingin mewujudkan sekumpulan hamba Allah yang sayang pada agama yang dianutinya untuk kekal dalam ukhuwwah islamiyyah. AMAL ingin agar setiap produk Maahad yang keluar itu tidak membazirkan ilmu yang diperolehi disekolah dengan berkawan dengan orang yang tidak ingin pun pada ilmu tersebut. AMAL ingin agar produk Maahad itu keluar mengingatkan orang-orang yang lalai agar kembali kepada Allah. Yang nyata, AMAL ingin sekali agar-agar ahli-ahlinya turut sama mendengar nasihat daripada Allah ini.


Jelasnya, AMAL bukanlah membawa agenda individu. Bukanlah niat AMAL untuk menyusahkan ahlinya dengan program-program yang mencuri masa rehat ahlinya. Tapi niat AMAL agar ahli-ahlinya dapat bersama-sama merealisasikan harapan Allah dalam ayat ini. Bersama menjadi penolong agama Allah.

Maka, kepada mereka yang beranggapan AMAL ini tidak perlu dalam kehidupan mereka, yang menolak untuk menjadi ahli, fikir-fikirkanlah. Adakah mampu anda membawa agenda Islam ini secara berseorangan? Atau hati anda lebih senang bersama-sama mereka yang tidak perlu pun bersusah payah fikirkan tentang agama, senang nak fokus pada akademik? Cukup barangkali dengan solat, puasa dan khatam Al-Quran? Maka itu terpulanglah. Sesungguhnya urusan hidayah itu hanya milik Allah.

Sebagaimana semua ahli AMAL inginkan nikmat dunia, maka pastinya neraka itu bukanlah satu “final destination” yang ahli AMAL harapkan. Maka adakah cukup segala usaha anda selama ini dalam memastikan diri anda layak untuk tidak ke neraka? Mungkin usaha anda selama ini layak untuk 11A1 SPM, layak untuk CGPA 4.000, layak untuk dinaikkan pangkat, tapi bagaimana darjat anda disisi Allah?..pernahkan terfikir?

Sememangnya usaha dakwah ini tidaklah mudah. Penuh rintangan. Membawa agenda Islam seolahnya berusaha menjaga cahaya lilin daripada padam dalam keadaan angin bertiup kencang. Ujian daripada Allah dalam memastikan adakah hambanya mempunyai iman yang tulen sentiasa berterusan tanpa henti.

Semoga tahun 2007 mendatang, AMAL akan terus mendapat sokongan daripada ahli-ahlinya, terutama kepada lepasan SPM2006. Anggaplah yuran keahlian itu sebagai satu pinjaman anda kepada Allah, kerana duit itu tidak AMAL gunakan untuk urusan dunia semata, bahkan pastilah urusan menolong agama Allah. Itulah saham anda. Yang menjanjikan pulangan berganda! Lebih daripada keuntungan SURECO dan Dinar Iraq!

Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah?), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan rezeki dan kepada-Nya-lah kamu akan kembali.

Maka wahai orang yang mendakwa diri beriman kepada Allah, sahutlah seruan Allah ini (ayat ke 245 Surah Al-Baqarah). Bukankah anda inginkan keuntungan yang banyak sebagaimana anda melabur dalam dinar iraq, public mutual dan segala jenis MLM itu? Ini janji Allah, keuntungan berlipat ganda. Kenapa? Tak percaya yea? Dan akhirnya, sama ada anda sumbangkan duit itu kepada agama atau anda tetap simpan dalam poket anda, anda tetap akan kembali kepada Allah. Bekalannya?

Wallahuwaliyuttaufiq.

|