Saturday, August 13, 2005

Balligh 'Anni v.01.0805

عن أبى محمد عبد الله بن عمر وبن العاص رضى الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به.

(bacaan : la yu'minu ahadukum hatta yakunu hawahu tabaan lima ji'tu bih)

Maksud Hadis :

Dari Abi Muhammad 'Abdillah bin Amru bin al-As radiyallahu 'anhuma katanya : Rasulullah sallalahu 'alaihi wasallam bersabda : "Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya @ kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia."

Hadith hasan lagi sahih, kami riwayatkannya dalam kitab "al-hujjah" dengan isnad yang sahih.

Ulasan berdasarkan kuliah :

Hadith ini merupakan Hadith ke 41. Daripada kitab apa tak ingat. Cuba perhatikan pada permulaan hadis, yang mana Nabi Muhammad Rasulullah SAW memulakan hadis ini dengan menyebut "tidak beriman". Kenapa Nabi Muhammad Rasulullah SAW memulakan dengan "tidak beriman" walaupun yg dimaksudkan hanya lah tidak sempurna iman? Jawapannya adalah kerana dia mahu kita rasa teruja, atau rasa berdebar. Dan dia mahu kita memberikan perhatian dalam hal ini. Manakan tidak, kalaulah kita ada iman, pastilah kata-kata ini membuatkan kita rasa berfikir sebentar, adakah kita mengikut baginda sebagaimana dalah hadis ini. Sememangnya Nabi Muhammad Rasulullah SAW adalah seorang yg bijak dalam menyusun ayat. Kalaulah hadis ini dimulakan dengan "tidak sempurna iman" bukannya "tidak beriman", maka ayat itu kedengarannya amat lembut sedikit, dan yg membacanya barangkali berkata :

"oh, tak sempurna jer, iman ada jugak"

Got what I mean? Begitulah kebijaksanaan Nabi Muhammad Rasulullah SAW dalam bermain dengan psikologi, tidakkah anda sebagai pembaca merasa apa yg penulis rasa? Takut? Semoga pembaca merasa terdorong untuk bermuhasabah apabila mendalami maksud hadis ini.

Kecenderungan dalam hadis ini adalah dimaksudkan kepada rasa berkenan manusia kepada apa yang Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa. Dan kita sedia maklum, apa yg Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa adalah wahyu daripada Allah SWT. Maka kita boleh faham, bahawa bila seseorang itu tidak berkenan atau tidak ada rasa dalam hati dia untuk mengikuti apa yg Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa, maka secara tidak sedar dia juga sebenarnya tidak menyukai apa yang telah Allah SWT perintahkan. Maka, adakah orang ini boleh dikatakan beriman? Fikir-fikirkan.

Hadis juga membincangkan berkenaan mahabbatullah warasul. Hadis ini nak mengajar kita agar sentiasa menjadikan apa yg Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa ini sebagai rujukan dalam membawa diri atau melalukan sesuatu perbuatan. Contohnya apabila kita nak makan, bagaimana adabnya, makanan halal atau tidak dan sebagainya. Apabila sesorang itu melakukan sesuatu yg terlarang, maka secara mudahnya kita anggap dia tidak memikirkan adakah yg dilakukannya itu mengikut apa yg Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa, yakni, dia kalah kepada hawa nafsunya.

Dalam kitab Hikam Wal 'Ulum, apa seseorang itu mempunyai kesempurnaan iman, maka kesempurnaan iman itu akan memaksa manusia meniggalkan apa yg Allah larang, iman yg sempurna itu akan memberikan satu kekuatan kepada dia untuk melakukan sesuatu yang akan mendekatkan diri dia kepada Allah SWT. Tidak cukup dengan perkara wajib, maka dia akan terus melakukan perkara sunat. Dan kesempurnaan ini jugalah yang akan membenteng seseorang itu daripada melakukan perkara yang terlarang.

Berdasarkan pada perbahasan ulama', seseorang yg mempunyai hawa yg cenderung kepada apa yg Nabi Muhammad Rasulullah SAW bawa, apabila dia melihat perkara mungkar, menghina Islam atau sebagainya, maka hati dia akan merasa hendak marah, tidak puas hati, tidak sedap duduk (bahasa Malaysia ke ni? Hehe) dan tidak boleh berdiam diri. (Tengok diri kita camne).

Dalam hadis ini mengatakan "hatta yakunu hawahu tabaan"="sehingga adalah hawanya mengikut ". Maka kita boleh faham bahawa hawa ini boleh dididik dan dibentuk. Dan kita boleh faham juga bahawa asal hawa ini adalah menyeleweng sehinggalah kita membentuknya sampai ke peringkat hawa kita selari dengan kehendak Allah dan Rasul. Bila dididik sempurna, maka hawa ini berguna pada kita, kita boleh mengawal nafsu makan, nafsu berahi dan sebagainya. Hawa ini perlu juga dalam kehidupan kita, kalau tiada hawa nafsu, maka bagaimana akan terhasil zuriat, kan?

Kedudukan hawa berbeza dalam beberapa peringkat @ keadaan yang ada pada manusia. Hawa seseorang itu mungkin jinak dalam keadaan dia berada di masjid, tapi bila keluar daripada masjid, maka hawa dia pasti akan cuba meliar. Begitu juga beza orang yg berjawatan dengan tiada berjawatan, hawa pasti akan lebih meliar pada orang yg berjawatan, sama ada merangsang dia untuk pecah amanah, menyeleweng, menerima rasuah atau sebagainya.

Secara tidak langsung, perjuangan membentuk atau mendidik hawa ini adalah sepanjang masa, sebab itulah kita kena hidup dalam berjemaah agar kita sama-sama membentuk hawa kita melalui majlis ilmu seperti usrah dan sebagainya.

Semoga beroleh manfaat. Wallahuwaliyuttaufiq.

(Untuk membaca teks skema bagi hadis ini, sila lihat di laman tazkirah berantai.)


|